KUALA LUMPUR: Gangguan mental dalam kalangan kanak-kanak berpunca daripada persekitaran dan kegagalan dalam sistem sokongan sosial mereka.

Pakar Psikologi Kanak Kanak Universiti SEGi, Prof Datin Dr Mariani Md Nor berkata, latar belakang keluarga yang baik dan tidak mempunyai masalah bukan jaminan seorang kanak-kanak itu tidak terdedah dengan gangguan mental.

Jelas Dr Mariani, faktor sokongan keluarga dan masyarakat sekeliling memainkan peranan, selain faktor keperibadian atau identiti kanak-kanak itu sendiri.

"Ada kanak-kanak ini tidak dilahirkan secara normal, ada yang memerlukan perhatian contohnya kanak-kanak autism atau dalam golongan hiperaktif dan tidak kurang juga yang melalui masalah kesihatan yang lain.

"Kalau kita ambil contoh kanak-kanak autism, kadang-kadang mereka sukar berkomunikasi dan berinteraksi dengan orang lain secara sosial dan ini boleh menyebabkan pengasingan sosial. Jika tiada sistem sokongan yang sesuai terutama dalam konteks keluarga sendiri atau di sekolah, maka akan berlakulah gangguan mental.

"Begitu juga kanak-kanak hiperaktif atau yang mempunyai masalah mood dan perangai, mereka berpotensi mengalami gangguan yang seterusnya menjejaskan aktiviti harian mereka. Malah dalam situasi sekarang yang mungkin menggugat situasi sesebuah keluarga, mereka terdedah dengan gangguan ataupun penderaan termasuk fizikal, seksual penderaan dan emosi.

"Latar belakang dalam golongan M40 atau T20 juga kadang-kadang tidak boleh menjamin mereka tidak terdedah kepada gangguan mental kerana kanak-kanak ini sering berkomunikasi dengan persekitaran, pergaulan antara rakan sebaya, keluarga, guru-guru ataupun persekitaran seperti laman media sosial di mana banyak berlaku buli siber.

"Yang paling penting ialah sokongan sosial mereka, sistem sokongan perkhidmatan psikososial mereka perlulah mantap supaya apa sahaja dapat diselesaikan dengan secepat mungkin," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Katanya, jika gangguan mental tidak ditangani secara berkesan, ia akan menjejaskan perkembangan dan pertumbuhan kanak-kanak, termasuk dari segi emosi dan intelektual mereka. Situasi ini seterusnya akan menjejaskan aspek modal insan dan sumber manusia negara di masa hadapan.

Justeru, kerajaan diharap dapat menambah sistem sokongan perkhidmatan psikososial dan sistem sokongan kesihatan mental dan memastikan ia sentiasa berada di tahap yang memuaskan.

"Penyelarasan sektor tertentu dalam memastikan sokongan dapat diberikan kepada kanak-kanak sangat diperlukan. Penyelarasan yang dimaksudkan adalah antara sektor pendidikan dengan sektor kesihatan, begitu juga dengan perundangan perlu diambil kira.

"Ini bagi memastikan bahawa kebajikan dan hak seorang kanak-kanak itu dijaga kerana semua sektor ini amat perlu diberikan perhatian, termasuk sektor kebajikan sosial, dari segi polisi yang diambil untuk menjaga kebajikan kanak-kanak," tambahnya lagi.

BACA: Tiap seorang daripada 20 kanak-kanak alami gangguan mental - Noor Azmi

Semalam media melaporkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019 menganggarkan tiap seorang daripada 20 kanak-kanak berumur lima hingga sembilan tahun di Malaysia mengalami gangguan mental, termasuk gangguan dari segi perkembangannya.